Thursday, July 8, 2010

Pergaulan Bebas Menghampiri Zina

PENYIMPANGAN dan masalah seksual, khusus di kalangan remaja semakin membimbangkan. Pergeseran kefahaman seperti dosa masing-masing tanggung, kubur masing-masing jaga, membuatkan masalah dosa dan zina sesuatu yang mula dipandang remeh.
Penyimpangan seks, iaitu zina sesuatu yang amat keji dan mesti dihindari setiap Muslim sebagaimana firman Allah yang bermaksud: “…dan janganlah kamu mendekati zina sesungguhnya zina itu perbuatan yang sangat keji dan satu jalan yang sangat buruk.”Seks adalah satu anugerah Allah yang diberikan kepada manusia sebagai satu nikmat dan perhiasan kehidupan seperti juga binatang dan tumbuh-tumbuhan.

Memang patut kalau manusia ghairah seks atau berasa hendak melampiaskan keinginan seksual itu. Allah tidak melarang manusia melampiaskan hawa nafsunya selama mana cara yang dihalalkan, pada saat yang tidak terlarang dengan ikatan perkahwinan yang sah.
Nabi s.a.w seakan tidak mengaku umat terhadap mereka yang mempunyai kemampuan untuk berkahwin tetapi meninggalkannya.

Dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya berbunyi: “Sesiapa benci dan enggan menurut sunnahku (antaranya berkahwin), maka dia bukan dari kalanganku.”
Ikatan pernikahan adalah jalan yang halal dan diiktiraf syarak untuk melepaskan kemahuan seks. Ini bererti orang yang belum berkahwin jangan cuba-cuba melepaskan seksnya.
Sebagai satu agama yang amat hebat, Islam menampilkan cara pengawalan yang sangat berkesan dalam mengatasi penyakit seksual, iaitu sebagaimana dalam firman Allah yang kita baca di atas, perkataan ‘jangan kamu hampiri zina.’ Kalau hampiri sudah dilarang dan ditegah, apatah lagi melakukannya.

Menghampiri bermakna apa saja perbuatan yang menjadi penyebab, pendorong, keinginan dan sebagainya, adalah haram. Kalau ada pendorong mudah datang keinginan diulit bisikan syaitan sama merelakan pula, terjadilah perbuatan terkutuk yang saban hari kita lihat dan dengar iaitu remaja melahirkan anak luar nikah. Bayi yang tidak berdosa ditemui mati di timbunan sampah, dengan perut terburai dimakan sekumpulan anjing liar. Sudahlah berzina, amat jijik pula kezaliman terhadap bayi yang tidak tahu apa-apa.

Oleh itu, pergaulan bebas, berdua-duaan, berpimpin tangan, rapat-merapati dan berhimpit di atas motosikal adalah faktor permulaan yang kuat mendorong ke arah penyimpangan seksual.
Alam remaja adalah alam yang sangat mencabar sehingga disebut nabi dalam satu senarai orang kenamaan akhirat adalah remaja yang terselamat dan menyelamatkan diri daripada zina.
Maksud hadis: “Lelaki yang apabila diajak perempuan cantik berzina lalu berkata, “sesungguhnya aku takut kepada Allah.”

Pendidikan seks menurut Barat amat berbeza dengan Islam, agama yang sangat suci ini. Masyarakat remaja Barat yang sangat bebas serta serba tidak terkawal itu hanya mengajar bagaimana mencegah supaya jangan berlaku kehamilan. Seks adalah hak peribadi yang tidak terlarang bagi mereka.

Bagi mereka hamil di kalangan remaja berlaku kerana remaja tidak tahu mengenai seks selamat, bukannya hendak berfikir mengenai salahnya berzina itu.
Pendidikan seks dalam Islam mendidik remaja bukan saja supaya tidak berzina tetapi juga supaya menjauhi sebab dan segala pendorong perzinaan.
Sebab itu mendidik mengenai syurga neraka supaya umat Islam gerun terhadap ancaman neraka dan akhirnya menolak nikmat sementara supaya terselamat api neraka yang membakar selamanya.

Langkah pencegahan menurut Islam ialah:

1. Jaga pandangan mata dengan tidak melihat aurat jantina berlainan termasuk gambar serta filem pornografi.

2. Tidak berdua-duaan lelaki dan wanita yang bukan mahram di tempat sunyi.

3. Tidak bersentuhan kulit antara lelaki wanita termasuk bersalaman.

4. Tidak bergaul bebas lelaki wanita tanpa batas.

1 comment:

  1. Zina skrg ni bukan lelaki dgn perempuan je. Paling menakutkan sesama jantina pun jadi. Yang makan kiri kanan pun ada.Tak takut ke amaran Allah dan hukuman ke atas umat Nabi Lut. Agaknya tidak atau sememangnya jahil. Nauzubillah mohon Allah jauhkan kita dan ahli keluarga dari maksiat.

    ReplyDelete