Sunday, August 15, 2010

Cakap, Amalan Gambaran Hati

Apabila kita lupa Allah, apa saja dibuat dalam hidup serba tak kena

ADA frasa menyebut antara maknanya: 'Sesiapa yang banyak ingat sesuatu, dia akan banyak menyebut yang diingatinya'. Contohnya remaja, kalau dia ingat kerja, selepas tamat pengajian mereka akan mencari pekerjaan sesuai dengan kelulusan bagi membantu menyara kehidupan diri serta keluarga.

Mereka akan banyak bercakap berkenaan kerja, jenis serta gaji. Orang miskin pula apabila kekurangan belanja akan memikirkan bagaimana untuk mengatasinya. Orang kaya dan berharta sentiasa membayangkan harta dan kekayaannya. Mereka akan bercakap soal projek dan bagaimana mengatur strategi bagi menambah kekayaan.

Seorang pendakwah fikirannya sentiasa berlegar terhadap masalah umat dan cara memperbaiki serta menyampaikannya. Mereka sentiasa berbicara bagaimana dakwahnya boleh sampai ke telinga mereka yang masih tidak dapat menerimanya.

Seorang yang sentiasa hidup memburu nafsu akan mencari kawan sealiran dengan mereka untuk berseronok. Seorang yang sedang bercinta akan suka bercakap dengan kekasihnya hingga ia terbawa-bawa di dalam mimpi disebabkan terlalu banyak mengingatinya.

Apa yang kita cakap dan lakukan selama ini mencerminkan apa yang ada di dalam hati kita. Apa yang diutarakan ini nampak seperti berbelit-belit tetapi sebenarnya yang lebih ditakuti, jika kita terbelit dengan fikiran dan tindakan yang tidak berasaskan ingatan terhadap Allah s.w.t. Kita banyak berfikir terhadap hal keduniaan tetapi kita tidak berapa mengingati kepada yang lebih agung iaitu Allah yang mencipta seluruh kejadian di muka bumi ini. Kita banyak memikirkan ciptaan Allah s.w.t tetapi kita lupa kepada penciptanya.

Kalau kita bercakap pun kurang, apatah lagi amalan kita. Kalau yang kita cakap itu pun belum tentu dibuat, apatah lagi yang tidak bercakap langsung, malah lebih parah terlintas di fikiran pun tidak.

Bayangkan kalau tidak terlintas sedikit pun mahu melaksanakan perintah beribadat, bersyukur, berzikir serta memperjuangkan kalimah Allah. Itulah yang membawa kepada segala gejala. Sebenarnya gejala sosial bermula apabila kita 'bermasalah' dengan Allah.

Pendek kata, punca segala yang tidak kena dengan kehidupan kita apabila kita melupakan Allah s.w.t. Kalau menyebut pun sudah jarang-jarang, bagaimana pula hendak berjuang serta mempertahankannya? Dalam suasana orang kita bercakap polemik kalimah Allah ditulis di gereja, sebahagian kita baru tersentak yang mana satu betul. Masa ini baru hendak ambil pusing nama Allah yang dulunya banyak 'terpusing' dengan putaran dunia. Solat dan zakat serta haji entah ke mana, malah semuanya tidak ke mana. Kita bukan hanya perlu memperjuangkan kalimah Allah s.w.t yang Maha Agung semata-mata tetapi hendak hidup dan mati dengan 'skrip' Allah melalui al-Quran dan hadis.

Apa ertinya kita pertahankan nama Allah tetapi hidup menyusahkan Islam dan membuat fitnah terhadap agama gara-gara perilaku kita.

Sama juga kita bermati-matian mempertahankan identiti seorang mualaf yang mati supaya dikebumikan di kubur orang Islam. Tetapi ketika hidupnya, kita tidak prihatin untuk menyampaikan dakwah dan tidak ambil tahu kehidupan agamanya.

Kita berdoa semoga Allah s.w.t memberi kekuatan serta petunjuk kepada pemimpin dan ulama supaya kita dapat menyelesaikan isu kalimah Allah yang hendak ditulis di gereja ini.
Sebagai penutup bicara, elok kita meneliti di peringkat mana hati dan ingatan kita terhadap Allah s.w.t agar selepas ini, kita lebih prihatin dengan keadaan umat Islam serta hubungan kita dengan Allah s.w.t.

Cuba perhatikan senarai berikut, di mana kedudukan kita?

1. Hati yang lalai kepada Allah.
2. Hati yang ingat Allah bila susah dan bermasalah.
3. Hati yang asyik dengan Allah.
4. Hati yang makrifat kepada Allah

Kedudukan hati di peringkat pertama dan kedua, kita belum selamat dan tidak boleh diharap menjadi penyelamat serta pembela kepada diri, keluarga serta masyarakat. Usahakan semoga kita dapat naik ke peringkat ketiga kerana pada peringkat itu kita mulai selamat dan menyelamat manakala peringkat keempat adalah peringkat pejuang serta pemenang dunia dan akhirat.