Tuesday, March 30, 2010


BERUNDING DENGAN GHAFFAR BABA

(CATATAN ABDULLAH CD)


Saya mengenali Ghafar Baba ketika kami sama-sama bergerak dalam PKMM (Parti Kebangsaan Melayu Malaya). Beliau bergerak aktif dalam PKMM bahagian Melaka. Ketika saya menghadiri kongres KMM di Melaka pada tahun 1946, Ghafar Baba dan kawan-kawan PKMM Melaka menghadiahkan saya satu tongkat sebagai kenang-kenangan. Setelah PKMM diharamkan oleh penjajah, Ghafar Baba dan ramai kawan dalam PKMM memasuki UMNO untuk meneruskan perjuangan. Pada tahun 1981, Ghafar Baba dipilih menjadi Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Sejak itu saya sebagai rakan seperjuangan lama selalu menghantar siaran-siaran terbitan PKMRM kepada beliau sebagai tatapan.Pada tahun 1985, Haji Mokhtar datang berkunjung ke pangkalan Rejimen Ke-10 di Sukhirin untuk menemui kakak iparnya Abu Samah Mohd Kassim. Dalam pertemuan itu, Haji Mokhtar telah mengemukakan pendapatnya tentang menamatkan perang melalui cara ala-Baling, maksudnya menamatkan peperangan melalui perundingan damai. Berkenaan masalah itu, pimpinan Rejimen Ke-10 telah mengadakan pengkajian dan penelitian. Kami menyerahkan perkara itu kepada Abu Samah supaya membuat laporan dan minta petunjuk kepada Dewan Sentral Komiti Utara Malaya (DCCUM). Akan tetapi tiada perkembangan yang positif.Pada bulan Jun 1985, saya mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Parti Rejimen Ke-10. Dalam mesyuarat itu, saya telah membentangkan masalah mencari cara menyelesaikan peperangan seperti cadangan yang telah dikemukakan oleh Haji Mokhtar. Saya ada cara sendiri kalau perkara itu dipersetujui iaitu menghubungi Ghafar Baba sebagai rakan seperjuangan lama. Mesyuarat sebulat suara menyetujui pandangan saya tersebut. Dengan itu, atas nama peribadi dan Rejimen Ke-10, saya mulai membuka hubungan dengan Ghafar Baba.Surat pertama saya bertarikh 25 Jun 1986 telah dihantar kepada Ghafar Baba melalui Haji Mokhtar. Isinya agak panjang, hampir 3 muka huruf mesin taip roman di atas kertas bersaiz legal. Isi kandungannya hanyalah menyampaikan tahniah dan harapan kepada beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri atas nama rakan seperjuangan yang telah lama berpisah.Ghafar Baba telah membalas surat itu dengan suratnya yang bertarikh 7 September 1987. Dalam suratnya Ghafar telah maju selangkah mengusulkan menghantar wakil mengadakan perjumpaan bagi mencari jalan menamatkan peperangan.Setelah mendapat jawapan dari Ghafar Baba, saya segera membuat laporan dan memperolehi restu dari DCCUM. Lepas itu saya menghantar Majid menghubungi pegawai tentera Thai yang selalu mengadakan hubungan dengan kami. Apabila Majid memberitahu mereka bahawa kami akan mengadakan perundingan dengan pihak Malaysia, pegawai tentera Thai merasa terkejut, lantas mereka mengemukakan berbagai soalan. Majid menjelaskan satu persatu kepada mereka. Pada masa itu juga, mereka menelefon atasannya. Kesimpulannya pihak tentera Thai sudi memberikan sebesar-besar dukungan dan bantuan dan berharap perundingan itu berjaya menamatkan peperangan.Mereka berkata, pihak tentera Ketumbukan Ke-4 sudah lama berusaha memujuk kami berunding dengan mereka secara baik-baik dan mendengar polisi pihak Ketumbukan Ke-4, akan tetapi semuanya ditolak dengan berbagai alasan. Sekarang kami bersetuju mengadakan perundingan dengan pihak Malaysia, mereka sangat gembira dan berharap akan berjaya menamatkan peperangan. Setelah itu, pihak tentera Ketumbukan Ke-4 telah mengeluarkan surat kebenaran untuk wakil kami keluar dari hutan.Dengan kerjasama yang baik dari pihak tentera Thai, saya yakin kami boleh mengadakan perundingan dengan Ghafar Baba dan menjamin masalah keselamatan wakil-wakil saya.Melalui perhubungan surat menyurat antara saya dan Ghafar Baba, akhirnya kami bersetuju menghantar wakil mengadakan perundingan. Ingin saya terangkan di sini bahawa perundingan ini adalah titik permulaan perundingan damai. Perundingan ini hanya mewakili saya dan Rejimen Ke-10 dengan Ghafar Baba yang mewakili kerajaan Malaysia. Selain itu juga pihak wakil tentera Thailand ikut serta dalam perundingan. Saudara Haji Mokhtar menjadi orang tengah yang mempertemukan wakil saya dan wakil Encik Ghafar.
Dicatat oleh WASIAT PEJUANG di 21:26 0 ulasan
Label:

No comments:

Post a Comment