Tuesday, March 30, 2010






PUSARA DATUK BAHAMAN
















Walaupun Datok Bahaman telah diiktiraf sebagai pejuang bangsa menentang penjajahan Inggeris, namun belum ada usaha yang bersungguh-sungguh menjejaki pahlawan bangsa tersebut. Sehingga kini, belum terungkap di mana letaknya pusara Datok Bahaman dan pengikut-pengikutnya.



Untuk menyingkap misteri tersebut, Abu Samah Mohd. Kassim bersama Abdullah C.D. , Suriani Abdullah dan Siti Norkiah telah berkunjung ke Chiangmai pada tahun 1996. Seorang pegawai tentera Thai yang bertugas di Unit Penghubung di kampung Perdamaian Sukhirin telah membantu perjalanan mereka.



Dalam catatannya yang diabadikan dalam buku SEJARAH DAN PERJUANGAN KEMERDEKAAN, terbitan Nan Dao Publisher, Hongkong 1996, Abu Samah menulis:



Akan tetapi yang amat menarik minat saya ialah ketika kami berempat berkunjung ke Chiangmai, Utara Thailand. Sebagaimana di fahamkan bahawa Datok Bahaman dan pejuang-pejuang Pahang melawan penjajah British telah diusir ke Utara Thailand dan dilindungi oleh Seri Maharaja Siam dan ditempatkan di sebuah perkampungan khas. Dengan maksud mencari zuriat Datok Bahaman – Orang Kaya Semantan – dan para pejuang Pahang lainnya, pada bulan Ogos 1996, kami berempat telah berkunjung ke sana.



Dengan dipandu oleh Kaptan (pukong) [gambar kanan: baju merah tengah] yang bertugas sebagai Ketua Chut Patibatkarn (Unit Penghubung) di Kampung Chulabhorn Patana 12, kami berjaya menemui satu keluarga saya dari zuriat Datok Bahaman yang bernama Soliha Hanapi (49 tahun) [gambar kanan] dan suaminya Imam Shukri serta anak-anaknya. Oleh kerana beberapa sebab tertentu seperti kesuntukan masa, kurang lancarnya penterjemahan bahasa dan penukaran nama-nama asal para pejuang Pahang yang lampau, agak sukar untuk mengusut zuriat-zuriat yang lain. Walaupun begitu, menurut Soliha, dari apa yang diceritakan oleh allahyarham bapanya bahawa di atas sebuah bukit yang tak jauh dari Stesyen Keretapi Lampang, Thailand terdapat kubur tempat bersemadinaya Datok Bahaman. Katanya lagi dalam masa 60-70 tahun yang lalu, kubur itu dianggap keramat, sentiasa dikunjungi bukan saja orang-orang Islam, tetapi penganut-penganut Buddha dan lain-lain. Mereka datang selain untuk mendapatkan ilham juga bernazar atau melepaskan niat.


Memang benar, disebelah hadapan stesyen keretapi Khuntan, di atas sebuah bukit terdapat satu kubur yang tambak dan batu nesannya tumbang dan patah. Apakah ini benar pusara Datok Bahaman? Kami belum dapat memastikannya, masih perlu melalui penyiasatan dan pengkajian lanjut. Insya Allah, kami akan berusaha ke arah itu.
Pada hari yang sama, saya berkesempatan bercakap-cakap dengan seorang wanita Buddha kira-kira dalam usia 60 tahun bangsa Thai, tuan punya kedai menjual barang-barang runcit di stesyen keretapi Khuntan. Dia memberitahu bahawa menurut dari cerita bapanya, dulu kawasan ini Seri Maharaja Siam berikan kepada orang-orang Melayu dari luar membuka perkampungan. Setelah itu beberapa kali tempat ini diserang oleh puak-puak tertentu dan akhirnya kampung Melayu itu musnah, banyak yang mati dan yang lain berundur ke Chiangmai.
...........nota: Abu Samah Mohd. Kassim adalah seorang pimpinan Jawatankuasa Pusat PKM dan anggota Markas Besar Rejimen Ke-10 dan juga adalah zuriat Datok Bahaman.

1 comment:

  1. salam...

    maaf bertanya... bkn ke Abu Samah ni mmg tinggal di Thailand? Kalau benar la Abu Samah ini org yg sama datuk saya ceritakan.. dia mmg tinggal di Thailand....

    ReplyDelete